Blogger templates

Tuesday, October 11, 2011

Saya ada pilihan sendiri!

Bismillah ar Rahman ar Rahim
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. "
(Rum : 21)

Sebagai seorang gadis yang akan dipinang oleh mana-mana lelaki perlu memilih calon hidupnya dengan baik. Jadi, jika si gadis itu menolak, lelaki yang meminangnya tu fikir la baik-baik ye. Jangan pula kata si gadis membuat keputusan yang 'bodoh','tak berfikir','memilih' kerana menolak seruan jodoh. Bila kena tolak je, majoriti lelaki akan berasa 'tak puas hati' dengan si gadis. Lepas tu mula lah bagi comment yang entah ape-ape. Tak pernah na fikir tentang diri sendiri. *geram*
Hmm, malam ni na cerita sesuatu. Harap dapat difahami dengan baik. ^^

*****
Pada zaman dahulu ada seorang wanita cantik bernama Mawiyah binti Azfar yang hidup di tanah Arab. Selain cantik Mawiyah juga terkenal sebagai gadis yang cerdas akalnya dan dari keturunan bangsawan. Ramai lelaki yang datang meminangnya, namun Mawiyah tidak mahu memilih calon suaminya sebelum menguji kecerdasan dan latar belakangnya terlebih dahulu.

Suatu ketika, tiga lelaki dari keturunan bangsawan dan hartawan datang meminangnya. Mereka itu adalah Hatim at Ta'i, An Nabighah dan seorang lagi hanya dikenali sebagai lelaki dari suku Nabit. Kepada ketiga-tiga lelaki itu, Mawiyah menyuruh pulang dan membuat syair tentang keagungan diri masing-masing.Setelah itu barulah datang lagi untuk membacakan syair-syairnya. Maka ketiga-tiganya pun pulang untuk menciptakan syair yang paling baik sambil menyembelih unta sebagai kesyukuran.

Mawiyah yang cerdik akalnya itu memakai pakaian yang hodoh seperti orang tua lalu keluar menuju rumah ketiga-tiga lelaki yang datang meminangnya tersebut dengan menyamar sebagai pengemis.

Mula-mula dia datang ke rumah lelaki dari suku Nabit untuk mengemis. Tiada sesiapa pun yang menyedari perkara itu.

"Tuan,berilah saya sedikit makanan untuk mengalas perut.. " Kata Mawiyah ketika sampai dirumah lelaki Nabit.

Lalu,lelaki Nabit memanggil orang gajinya dan menyuruh agar pengemis itu diberi sedikit tulang-tulang unta sembelihan.Mawiyah menerima pemberian itu dengan suka hati dan mengucapkan terima kasih.

Kemudian dia pergi pula ke rumah Nabighah sambil meminta sedekah.

"Tuan,berilah saya sedikit makanan." Kata Mawiyah.

"Siapa kamu?" tanya Nabighah.

"Saya seorang fakir yang tidak mempunyai apa-apa harta." Jawab Mawiyah.

Tanpa berfikir panjang,Nabighah mengambil ekor-ekor unta yang disembelihnya dan diberikan kepada si peminta sedekah tu.

"Terima kasih." Kata Mawiyah lalu pergi dari situ.

Mawiyah pergi ke rumah yang terakhir iaitu Hatim at Ta'i yang sedang sibuk mengadakan persediaan untuk kenduri.

"Tuan,berilah saya sedikit makanan." Kata Mawiyah.

"Siapa kamu ini?" Tanya Hatim lemah lembut.

"Saya seorang fakir dari kampung sebelah,datang untuk meminta sedikit makanan." jawab Mawiyah.

"Baik. Tunggu sekejap.Aku akan mencarikan daging yang baik untuk kamu."kata Hatim.

Hatim pergi ke dapur dan mengambil daging yang terbaik dari unta yang disembelihnya dan kemudian diberikannya kepada peminta sedekah.

"Terima ini." Kata Hatim at Ta'i

"Terima kasih Tuan." kata Mawiyah.

Setelah selesai datang ke rumah ketiga-tiga orang yang meminangnya,Mawiyah pulang membawa hasil "mengemisnya" dengan gembira.Tulang,ekor dan daging yang didapatinya dari meminta sedekah itu dimasaknya lalu disimpannya dalam bekas berasingan.

Pada masa yang telah ditetapkan,ketiga-tiga lelaki itu datang ke rumah Mawiyah untuk memperdengarkan syair gubahan masing-masing.

Mula-mula Mawiyah mempersilakan Nabighah agar membacakan syairnya.Nabighah berdiri sambil membaca syair yang memuji dirinya sendiri ;
Cuba kau tanya kepada suku Dzibyan
Mereka tahu, siapa aku
Siapa keturunanku
Kuhamparkan semua hartaku
Sama ada teman atau seteru
Semua datang menyerbu
Semua merasa juadah dan lauk sedap


"Kau memang baik dan semua orang datang mengerumunimu kerana kamu umpama mereka dengan makanan dan lauk yang sedap." komen Mawiyah.


Kemudian lelaki Nabit maju memperdengarkan puisinya ;
Wahai Mawiyah
Sudahkah kau risik tentang diriku
dan apa yang aku buat?
Disaat-saat manusia kelaparan
Aku hamburkan hartaku kepada mereka
Semua mendapat bahagian
Walaupun yang datang tidak terbilang


"Engkau hanya mengarut belaka.Bicara kosong." Kata Mawiyah setelah mendengarkan syair lelaki Nabit.

Akhirnya Hatim tampil membawakan syair ;
Wahai Mawiyah yang jelita
Lama sudah aku merinduimu
Namun banyak penghalang yang merintang
Wahai Mawiyah!
Yang namanya harta,hanyalah sementara
Sekejap ada esok lenyap
Itu bukan senjata bagi anak muda

Mawiyah tidak memberikan komen apa-apa terhadap syair Hatim. Sebaliknya dia hanya mengarahkan kepada pelayannya agar menghidangkan bahagian-bahagian unta hasil mengemis yang telah dimasaknya itu. Sebelumnya, Mawiyah telah mengajar si pelayan kepada siapa tiga mangkuk itu di hidangkan.

Apabila Mawiyah masuk,pelayan datang membawa tiga magkuk. Sup tulang unta dihidangkan pada lelaki Nabit,ekor unta dihidangkan kepada Nabighah dan Hatim mendapat bahagian daging yang paling bagus.

Tidak disangka-sangka terperanjatnya lelaki Nabit dan Nabighah, apabila melihat pada mangkuk yang dihidangkan padanya.Kerana ternyata hidangan itu adalah makanan yang mereka berikan kepada pengemis semalam.Barulah mereka sedar bahawa yang datang semalam itu adalah Mawiyah yang menyamar sebagai pengemis tua.Kedua-duanya tertunduk malu.Sementara Hatim senyum-senyum dan kagum akan kecerdikan Mawiyah.

"Sungguhpun, Hatim lebih baik daripada syairnya." Kata Mawiyah sambil melirik kepada Hatim sebagai tanda setuju bersuamikan dia. Kedua-dua lelaki itu hanya menggigit jari sahaja.
*****


P/s:Ikhlas adalah kunci kebahagiaan manakala Cinta adalah penguat kebahagian dan Jujur adalah pengekalan kebahagian.Jika ketiga-tiga tu tiada dalam hidup,maka kebahagiaan yang dicari tak kan dapat dijumpai. ^^

Saturday, October 8, 2011

Cita-cita ulama' yang tercapai


Bismillah ar Rahman ar Rahim

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, disediakan bagi mereka taman-taman Syurga yang penuh nikmat, di sisi Tuhan mereka.. "
( Qalam : 34 )

*****
Suatu hari Ibrahim b Adham berangkat ke kota Makkah mengikut suatu kafilah. Kerana dia telah termasyur sebagai seorang ulama', maka ramailah yang menunggu-nunggu kedatangannya. Penduduk Makkah termasuk pemimpinnya telah membuat persiapan untuk menyambutnya kerana mereka benar-benar ingin melihat wajah dan mendengarkan nasihatnya. Ibrahim mendengar bahawa dirinya akan disambut dan diraikan bila datang ke Makkah. Dia tak suka akan hal itu dan ingin agar tiada sesiapa pun yang mengenali dan tahu akan keadaan dirinya. Dia ingin menghukum dirinya. Kebetulan orang-orang Makkah termasuk para pemimpinnya belum pernah melihatnya, jadi mereka belum mengenalinya.

Maka dengan senyap-senyap Ibrahim berpisah dan mendahului kafilahnya. Dia berjalan seorang diri dan mendahului datang ke Makkah. Apabila melalui orang ramai yang sedang menanti kedatangannya, dia mendengar mereka memuji-mujinya.

" Insyaallah,nanti Ibrahim akan sampai kerana kafilah yang diikutinya telah lama berangkat." Kata orang-orang yang menunggu kedatangannya."

Lalu Ibrahim bertanya pada mereka, "Buat apa kamu menunggu seorang ahli bid'ah itu?"

Mendengar itu,mereka marah dan terus menangkap Ibrahim, ada yang memegang tangannya dan ada pula yang memukulnya bertubi-tubi..

"Apa yang engkau kata? Para pemimpin Makkah juga menunggu kedatangannya,engkau pula mengatakan yang bukan-bukan tentang dia." herdik mereka.

"Ya, aku mengatakan bahawa dia itu seorang ahli bid'ah." Kata Ibrahim lagi.

"Jangan cakap sesuka hati! jaga mulut engkau. tahukah engkau, dia seorang wali Allah. " Kata mereka, lalu terus-menerus memukul Ibrahim.

Ibrahim merasa puas. Dia berkata pada dirinya, " Wahai diri!Apakah engkau menginginkan orang ramai dan pemimpinnya menyambut kedatanganmu? Bukankah engkau telah merasakan pukulan mereka? Segala puji bagi Allah, aku telah memperolehi apa yang aku inginkan selama ini."
*****
Masyaallah, ulama' dahulu dengan ulama' ( kononnya ) sekarang. T_____T

" Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat)."
( Nisa : 69 )
"(Al Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf. "
( Ibrahim : 52 )