Blogger templates

Monday, January 10, 2011

Rindunya untuk syahid di jalanMu

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu "
( Muhammad : 7)
"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."
( Ali Imran ayat : 160)
"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya."
(al Baqarah : 154 )
29 Ogos 2010 genaplah 44 tahun Allahyarham Sayyid Qutub syahid di tali gantung. Beliau dibunuh pada pagi hari isnin 29 Ogos 1966.
Seorang daripada dua anggota tentera yang ditugaskan menjaga al-marhum menceritakan pengalamannya bersama beliau ketika dalam penjara dan pada saat-saat beliau dibunuh.
Di sana terdapat beberapa perkara yang tidak dapat kami gambarkan telah menyebabkan berlakunya perubahan secara menyeluruh dalam hidup kami. Di dalam penjara al-Harbi, setiap malam kami menerima beberapa orang individu atau sekumpulan orang dewasa, anak-anak muda dan wanita-wanita.
Kami diberitahu bahawa mereka ini adalah para pengkhianat yang berkerjasama dengan Yahudi! Kita mesti membongkar rahsia mereka. Dan untuk tujuan itu tiada jalan lain kecuali dengan mengenakan siksaan yang paling maksimum.
Pukul mereka dengan menggunakan pelbagai jenis tali dan tongkat yang boleh mencarik robekkan daging-daging mereka!
Kami laksanakan arahan itu dengan keyakinan bahawa kami sedang menjalankan tugas kami yang mulia. Namun tidak berapa lama kami rasa diri kami sedang berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat kami tafsirkan.
Kami melihat para ‘pengkhianat’ ini begitu bersungguh-sungguh menjaga solat di waktu malam. Lidah mereka hampir tidak putus menyebut nama Allah sehinggakan pada waktu mereka didera. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang mati dibelasah dengan tongkat atau diterkam anjing yang ganas, namun begitu mereka tetap kelihatan tenang, bibir mereka mengukir senyuman sambil menyebut-menyebut nama Allah.
Dari situ, perasaan ragu mula menyelinap ke dalam hati kami. Tidak masuk akal orang-orang yang beriman seperti ini, yang sentiasa berzikir menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Allah.
Saya bersepakat dengan rakan setugas saya secara senyap-senyap untuk mengelak daripada menyiksa mereka ini sadaya mampu kami dan memberikan apa saja pertulungan yang terdaya oleh kami.
Dan dengan rahmat Allah serta kurnia-Nya tempoh kami ditugaskan dipenjara itu tidak lama. Tugas kami yang terakhir ialah mengawal sel seorang tahanan yang diasingkan dari yang lain. Mereka memberitahu kami bahawa tahanan yang seorang ini adalah yang paling berbahaya, atau dia adalah ketua mereka! Dialah yang merancang dan mengaturnya.
Dia diseksa dengan teruk sehingga tidak mampu untuk bangun. Mereka terpaksa mengangkat dan memapahnya ke Mahkamah Tentera yang memutuskan hukuman mati ke atasnya.
Malam terakhir sebelum dilaksanakan hukuman mati ke atasnya, mereka membawa masuk ke selnya seorang syeikh supaya memberi nasihat dan peringatan kepadanya. Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya dan rakan setugas saya memegang tangan dan memimpinnya menaiki sebuah kereta. Di dalamnya terdapat beberapa orang yang dikenakan hukuman yang sama dengannya.
Di belakang kereta yang kami naiki terdapat beberapa buah trak tentera lengkap bersenjata konon untuk mengawal mereka.
Di pelantar tempat pelaksanaan hukuman gantung tersedia tali-tali sebanyak individu yang dikenakan hukuman. Di sisi setiap tali berdiri seorang tentera menggalas senjata masing-masing dan seorang petugas yang siap sedia menunggu arahan melaksanakan perintah menjerut leher mangsa.
Apa yang mengkagumkan saya ialah kalimah-kalimah yang dihamburkan oleh oleh mereka yang berhadapan dengan kematian kepada kawan-kawan yang senasib dengan mereka. Mereka saling mengucap tahniah, memberi khabar gembira akan bertemu di syurga yang abadi di samping Muhammad serta sahabat-sahabatnya.
Dan mereka akhiri percakapan dengan kalimah mereka yang terakhir: الله أكبر ولله الحمد
Pada saat yang penuh debaran ini, tiba-tiba terdengar deru kereta menghampiri kemudian berhenti. Sebentar kemudian keluarlah dari kereta itu seorang yang berpangkat besar lalu menghampiri tahanan yang saya jaga.
Dia memerintahkan supaya penutup mata tahanan itu dibuka dan tali yang mengikat lehernya ditanggalkan. Kemudian dia berkata dengan nada sombong :
“Wahai saudaraku, wahai Sayyid! Aku datang kepadamu membawa hadiah kehidupan daripada Tuan Presiden yang sangat pengasih dan penyayang. Dia hanya meminta kamu tandatangani satu perkataan sahaja. Lepas itu kamu boleh minta apa saja yang kamu mahu untuk dirimu dan saudara-saudaramu itu!”
Tanpa menunggu jawapan daripada Sayyid, pegawai berpangkat tinggi itu membuka buku catatan yang ada di tangannya seraya berkata :
“Ya akhi, kamu tulis di sini ayat ‘sesungguhnya aku mengaku salah dan aku memohon maaf”.
Sayyid mengangkat kedua-dua matanya yang jernih. Di wajahnya terpancar senyuman manis yang tidak mampu kami sifatkan. Dengan tenang yang menakjubkan dia berkata kepada pegawai berpangkat tinggi itu :
“Selama-lamanya tidak mungkin! Aku tidak akan membeli kehidupan yang sementara ini dengan dusta yang tidak akan terpadam selama-lamanya!”
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).
( al Baqarah : 165 )
Pegawai itu menjawab dengan nada sebak yang dibuat-buat: “Tapi kamu akan mati Sayyid…”
Sayyid menjawab: “Marhaban (selamat datang) kepada mati di jalan Allah!”
Dan tiada lagi ruang bicara. Pegawai mengarahkan agar hukuman segera dilaksanakan. Maka terkulailah jasad Sayyid serta saudara-saudaranya di tali gantung. Di bibir mereka terpantul kalimah yang tidak mampu kami lupakan selama-lamanya : لا إله إلا الله محمد رسول الله
ALLAHUAKBAR !
SubhanAllah , subhanAllah , subhanAllah .
" Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang."
( al Maidah : 56 )
" Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. "
( al Mujaadalah : 22 )
Doa Saidina Umar r.a ketika ia sedang wukuf di arafah .
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ شَهَادَةً فِي سَبِيلِكَ وَوَفَاةً بِبَلَدِ رَسُولِكَ
"Ya Allah aku mohon mati syahid di jalanMu dan wafat di negeri RasulMu (Madinah)"
(Hadith Riwayat Malik 878 )
Rasulullah saw bersabda
مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الشَّهَادَةَ بِصِدْقٍ بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنَازِلَ الشُّهَدَاءِ وَإِنْ مَاتَ عَلَى فِرَاشِهِ
“Barangsiapa memohon dengan jujur kepada Allah agar mati syahid, maka Allah akan sampaikan ia kepada kedudukan para syuhada walaupun ia mati di atas ranjangnya.”
(Hadith Riwayat Muslim 3532)

No comments:

Post a Comment